IPOH 19 Feb. – Kesemua 13 ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini diminta menerima menerima keputusan pembubaran jawatankuasa bahagian masing-masing.
Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd. Salleh berkata, pembubaran jawatankuasa bahagian yang terlibat berpunca dari kelemahan kepimpinan peringkat bahagian itu sendiri.
Katanya, mereka sepatutnya berlapang dada menerima keputusan tersebut dan meletakkan kepentingan parti serta ahli-ahli di bahagian tersebut mengatasi kepentingan diri sendiri.
“Tindakan beberapa bekas ketua bahagian membuat tuduhan melulu terhadap kepimpinan parti dalam sidang akhbar baru-baru ini adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Tindakan mereka menyerang kepimpinan parti secara terbuka adalah satu pengkhianatan terhadap parti yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, semua ahli yang terlibat mesti terbabit perlu bermuhasabah dan akur pada keputusan itu yang pastinya bukan sewenang-wenangnya dibuat melainkan setelah dikaji dan dibincangkan secara terperinci oleh kepimpinan tertinggi parti.
Katanya, keputusan ini juga tidak bermakna mana-mana bekas ketua-ketua bahagian ataupun bekas barisan jawatankuasa terbabit tidak berpeluang untuk terus berkhidmat dengan parti.
“Armada Bersatu Perak yakin keputusan kepimpinan tertinggi membubarkan 13 jawatankuasa bahagian di Perak adalah suatu usaha mengukuhkan kedudukan Bersatu di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










