Perlis terpaksa beraksi di laman lawan - Utusan Malaysia

Perlis terpaksa beraksi di laman lawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR, 12 Feb.- Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan pindaan jadual dua perlawanan Liga Perdana membabitkan aksi Perlis menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Selangor United bertemu Negeri Sembilan.

Venue perlawanan Perlis dan JDT II pada asalnya berlangsung pada Jumaat ini di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar terpaksa diubah ke Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang jam 9 malam.

Perubahan ini dibenarkan oleh MFL selepas mendapat permohonan daripada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) selepas mendapat persetujuan bersama JDT II.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia bakal menyaksikan JDT II akan menjadi tuan rumah manakala Perlis pula akan menjadi tuan rumah pada pertemuan timbal balik dalam saingan Liga Perdana pada Julai depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, perubahan venue pada perlawanan ketiga Liga Perdana itu terpaksa dilakukan selepas Stadium Tuanku Syed Putra masih lagi dalam proses menaikkan taraf tahap pencahayaan lampu untuk membolehkan mereka beraksi pada sebelah malam.

“Mereka (PFA) sudah berhubung dengan pasukan JDT II untuk mengubah jadual perlawanan, mereka akan bermain di tempat lawan dulu dan secara timbal balik mereka akan main di tempat sendiri nanti.

“Ini kerana lampu yang kita syorkan kepada mereka untuk dinaikkan taraf sebelum kita benarkan permainan malam itu belum sedia lagi jadi pertukaran itu antara kedua-dua pasukan itu dan mereka bersetuju untuk menukar venue perlawanan jadi perkara itu tak perlu dijadikan isu sebenarnya,” katanya.

MFL menetapkan piawaian tahap pencahayaan lampu stadium 1200 lux untuk 15 lokasi pemeriksaan untuk semua pasukan dibenarkan beraksi pada sebelah malam di gelanggang masing-masing.

Sementara itu, satu lagi perlawanan melibatkan Selangor United menentang Negeri Sembilan pada 3 Mac depan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) jam 4.45 petang terpaksa diubah kepada 2 Mac.

Ini susulan pihak Selangor United baharu saja memaklumkan bahawa MPS tidak membenarkan perlawanan bola sepak Liga Malaysia berlangsung pada tarikh berkenaan kerana aktiviti komuniti penduduk Kawasan Selayang dalam perkarangan seliaan stadium. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×