KUALA LUMPUR 27 Feb. – Peruntukan perundangan sedia ada berkaitan sensitiviti agama perlu diperkemas agar penguatkuasaan dan pelaksanaan hukuman lebih berat dapat dilaksanakan ke atas pihak yang cuba menggugat keharmonian negara.
Sehubungan itu, kerajaan perlu lebih cakna dan proaktif terhadap sikap pihak yang mengambil kesempatan dengan sengaja mencetuskan suasana tidak puas hati dalam kalangan orang Islam.
Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Muhamad Amin Fahmi menegaskan, pihaknya memandang serius berkenaan insiden sesetengah pihak berani mengeluarkan kenyataan umum menghina Nabi Muhammad SAW seperti yang tular di media sosial mutakhir ini.
“DPIM berpendapat perkara seumpama itu tidak seharusnya berlaku dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia kerana boleh membawa implikasi negatif terhadap keharmonian institusi kenegaraan.
“DPIM mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan pihak yang biadab menyentuh hal ehwal agama Islam dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan pihak yang sengaja mencetuskan suasana tegang di antara agama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











