ALOR SETAR – Bagi bakal pengantin yang mengimpikan majlis perkahwinan berkonsepkan ala kampung tradisional, Keriang Hill Resort yang terletak di kaki Gunung Keriang dalam Mukim Gunung di sini pasti menjadi pilihan tepat.
Ketua Pegawai Eksekutif Keriang Hill Resort Sdn. Bhd., Datuk Wan Ahmad Muazzam Wan Ismail berkata, pihaknya menawarkan pakej dan lokasi menarik kepada bakal raja sehari untuk meraikan hari bahagia mereka di resort yang tampil sebagai perkampungan pengantin.
“Kita berpendapat bahawa konsep perkahwinan luar dewan atau dalam taman berlatarbelakangkan keindahan gunung batu kapur dan kehijauan alam semulajadi perlu diberi penekanan pada tahun ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar mengenai perkampungan pengantin Keriang Hill di sini hari ini.
Kata beliau, bakal pengantin juga boleh menampilkan kelainan dengan mengadakan majlis berinai atau akad nikah di teratak kayu terbuka atau rumah kampung tradisional di kawasan resort tersebut.
“Bagi yang mahu mengadakan majlis di dalam dewan, kita menyediakan khemah (marque tent) sebagai asas binaan di Dataran Keriang Hill yang boleh memuatkan sehingga 3,000 tetamu keluar masuk selain sebuah lagi dewan iaitu Dewan Seri Panglima dengan kapasiti tetamu 800 orang.
“Lebih istimewa, khemah ini boleh diubah suai mengikut konsep majlis perkahwinan yang diimpikan. Sebagai contoh untuk majlis persandingan pada waktu malam, bumbung khemah boleh diubah suai kepada telus cahaya serta dihiasi lampu manakala waktu siang, ia ditutup dan dilengkapi pendingin hawa,” ujarnya.
Menurut Wan Ahmad Muazzam, pada tahun ini juga pihaknya menawarkan pilihan terbuka kepada pelanggan iaitu menyewa dewan serta mengambil katerer dan perancang perkahwinan disediakan Keriang Hill atau bebas mengambil khidmat luar.
“Pakej perkahwinan yang kita tawarkan adalah serendah RM25 seorang mengikut konsep dan bajet yang diberikan bakal pengantin,” katanya.
Bagi yang berminat boleh menghubungi Keriang Hill di talian 04-7305232 atau menerusi Facebook Keriang Hill. – K! ONLINE











