KUALA LUMPUR 21 Feb. – Perbelanjaan purata per kapita pelancong China ke Malaysia meningkat 16 peratus dengan pertumbuhan transaksi sebanyak 71 peratus semasa cuti perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini berbanding yang direkodkan pada 2018.
Ketua Operasi Perniagaan Rentas Sempadan Alipay, Janice Chen berkata, Malaysia merupakan pasaran kedua terbesar di Asia Tenggara untuk platform pembayaran digital, Alipay yang dimiliki oleh Ant Financial iaitu syarikat bersekutu Alibaba Group.
Menurut beliau, sebanyak 68 peratus generasi China yang lahir antara 1960 dan 1979 menjadi penggerak utama kepada pelancongan dan penggunaan luar negara berbanding golongan muda.
“Penemuan ini menunjukkan bagaimana pembayaran mudah alih semakin mendapat tempat di pasaran luar China. Kami teruja melihat pertumbuhan kukuh penggunaan Alipay oleh pelancong luar bandar peringkat ketiga dan keempat serta peningkatan penggunaan daripada pelancong umur pertengahan.
“Pada masa sama, Alipay berusaha menarik lebih ramai peniaga luar negara menggunakan platform ini bagi memacu pertumbuhan perniagaan mereka selain menyediakan pengalaman terbaik kepada pelancong China,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut laporan Trend Pembayaran Mudah Alih di Pasaran Luar China 2018, pelancong negara itu membawa budaya tanpa tunai ke luar negara dengan 32 peratus transaksi percutian dibayar menggunakan pembayaran mudah alih.
Jumlah itu mengatasi peratusan penggunaan tunai buat kali pertama. Peniaga yang menawarkan Alipay sebagai pilihan pembayaran menyaksikan peningkatan trafik penggunaan serta perolehan, masing-masing sebanyak 58 peratus dan 56 peratus.
Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Runcit Heinemann, Alexander Maas berkata, jualan semakin meningkat sejak melaksanakan pembayaran melalui Alipay.
“Kami kini dapat memberi kemudahan kepada pelanggan China serta menyediakan pengalaman beli-belah yang sama kepada mereka. Lebih 20 peratus transaksi kami dilakukan menerusi aplikasi Alipay,” katanya.
Peningkatan populariti Alipay dalam kalangan pelancong muda dan berumur mengukuhkan perniagaan untuk menggunakan platform mudah alih itu bagi memacu pertumbuhan keuntungan masa depan.











