SERI ISKANDAR – Kerajaan negeri Perak komited untuk memerangi peneroka haram di atas tanah-tanah kerajaan negeri, agensinya dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membolehkan pembinaan perumahan mampu milik kepada rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, apabila projek perumahan ini dapat dibangunkan di atas tanah-tanah tersebut, ia sekali gus akan membolehkan kerajaan negeri menarik lebih banyak pelabur masuk ke negeri itu.
“Masalah yang kita hadapi sekarang ialah kita mahu bina rumah kepada rakyat namun ramai peneroka haram telah bertapak dan menjalankan pertanian di atas tanah-tanah milik kerajaan, agensi dan GLC ini.
“Kita akan menyiasat peneroka-peneroka haram ini. Sekiranya mereka hidup bergantung dengan hasil daripada tanah tersebut, kita akan bela mereka dan sebaliknya jika mereka telah memiliki tanah yang banyak, kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Perasmian Pembangunan Bersepadu Lestari IUS anjuran Team Keris Berhad (TKB) di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif TKB, Datuk Lee Seng Hee.
Tambah Ahmad Faizal, kerajaan negeri tidak akan bertindak kejam terhadap peneroka haram yang menggunakan tanah berkenaan untuk menyara kehidupan mereka.
“Kita akan ambil tindakan berdasarkan dokumen yang ada pada kita selain menyiasat dengan lebih lanjut sebelum tindakan terhadap peneroka ini diambil.
“Bagaimanapun, kita perlu teruskan perancangan dan pembangunan negeri. Jangan disebabkan 800 peneroka haram, kita menafikan hak 2 juta rakyat lain,” jelasnya.
Sementara itu, kerajaan negeri menjangkakan dapat mencapai target untuk membina 50,000 rumah mampu milik di seluruh Perak dalam tempoh lima tahun.
“Setakat ini, kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan 34,000 buah rumah mampu milik dalam tempoh kurang dari setahun.
“Kita percaya target 50,000 buah rumah mampu milik kepada rakyat dapat dicapai sebelum tempoh lima tahun tersebut,” katanya. – K! ONLINE











