IPOH – Pasukan bola sepak Perak mara ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas menewaskan wakil Hong Kong, Kitchee SC menerusi sepakan penalti 6-5 apabila keputusan terikat 1-1 di Stadium Perak di sini sebentar tadi.
Perak bermula garang dengan melakukan percubaan awal untuk menjaringkan gol pada minit ke-3 namun rembatan penyerang importnya, Gilmar Jose Da Silva Filho tepat ke penjaga gol Kitchee SC, Wang Zhenpeng.
Usaha berterusan The Bos Gaurus menyusun serangan akhirnya membuahkan hasil apabila tandukan Gilmar selepas mendapat hantaran daripada Brendan Gan sebelum disempurnakan Wander Luiz pada minit ke-14.
Pasukan pelawat seakan-akan buntu apabila beberapa serangan dilancarkan mereka dipatahkan pertahanan Perak dengan cemerlang.
Kedudukan Perak mendahului 1-0 ke atas Kitchee SC kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Nasib malang menimpa Kitchee SC apabila pemain pertahanan importnya, Matthew Smith dibuang padang gara-gara menampan bola menggunakan tangan dengan sengaja pada minit ke-49.
Bermain dengan 10 pemain tidak menghalang Kitchee SC untuk menyusun serangan dan hasilnya mereka menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-86 selepas pemain pertahanan, Li Ngai Hoi menyudahkan hantaran rakan sepasukan.
Keputusan seri pada tamat separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan bermain pada masa tambahan 30 minit namun jaringan tidak berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan.
Perak akhirnya memperolehi kemenangan menerusi sepakan penalti 6-5 sekali gus mara ke pusingan ketiga kelayakan ACL. – K! ONLINE










