Penyelia pasukan minta polis segera cari Adib - Utusan Malaysia

Penyelia pasukan minta polis segera cari Adib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 13 Feb. – Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Badrul Hisyam Salim@Ali menjelaskan bahawa dia terpaksa meminta bantuan anggota polis untuk mencari Muhammad Adib Mohd. Kassim sejurus menyedari anggota bomba itu tiada.

Badrul Hisyam, 39, saksi kelima bagi prosiding inkues kematian Muhammad Adib berkata, akibat insiden yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman itu, dia yang duduk di bahagian penumpang jentera Fire Rescue Tender (FRT) hanya terfikir polis sahaja yang dapat memasuki lokasi kejadian untuk mencari anggotanya yang hilang.

Dia yang juga merupakan penyelia pasukan pada malam kejadian insiden rusuhan menjelaskan, setelah berjaya menyelamatkan diri daripada kawasan rusuhan, dia menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dan kelihatan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sudah berada di pondok pengawal.

“Saya telah membuat panggilan baris dan mendapati anggota pemadaman, Hazim yang menaiki FRT bersama saya yang pada awalnya dipercayai hilang berada di balai, namun sebaliknya Muhammad Adib yang berada di van EMRS tiada.

“Menyedari kejadian ini, saya terus bergegas masuk ke balai maklumkan kepada polis dan meminta mereka segera ke lokasi kejadian untuk mencari Muhammad Adib,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Penyelia, Hamdan Hamzah di Mahkamah Koroner di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN