KUALA LUMPUR – Seorang pelajar di sebuah kolej swasta maut selepas kereta yang dinaiki bersama seorang lagi rakannya terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Klang Lama susur ke Lebuh Raya Persekutuan di sini pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian sekitar pukul 7 pagi itu, mangsa, Sachdevf Singh Sunder Singh, 22, sedang dalam perjalanan dari pusat bandar dengan menaiki kereta jenis Proton Waja yang dipandu rakannya.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu rakan mangsa, Umar Mokhtar Abdul Rahman, 22, dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh kon pembinaan yang berada di situ.
“Kereta yang dinaiki kedua-dua pemuda berkenaan seterusnya memasuki jalan susur Klang lama sebelum terbalik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulkefly, kereta berkenaan kemudiannya dirempuh oleh sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah Klang Lama yang tidak sempat mengelak.
“Akibat kemalangan tersebut Sachdevf mengalami kecederaan parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Umar Mokhtar serta pemandu Perodua Myvi hanya mengalami kecederaan ringan.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk dibedah siasat,” ujar beliau.
Tambah Zulkefly, punca sebenar kejadian masih di dalam siasatan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










