SEBERANG PERAI – Seorang penumpang feri yang dalam perjalanan dari Pangkalan Raja Tun Uda, George Town menuju ke Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth di sini dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut semalam.
Kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu berlaku pada jarak kira-kira 0.8 batu nautika barat laut Pangkalan Sultan Abdul Halim
Bagaimanapun, sehingga petang semalam, identiti mangsa yang terlibat belum dapat dikenal pasti.
Difahamkan, mangsa menaiki Feri Pulau Undan sebelum dia dipercayai terjatuh dan dilihat terkapai-kapai di permukaan laut.
Kru feri dikatakan cuba menyelamatkan mangsa dengan membaling pelampung, namun mangsa hanyut dan tenggelam.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.
“Identiti dan maklumat mangsa belum dikenal pasti.
“Pihak Pelabuhan Pulau Pinang dan Rapid Ferry juga masih menjalankan siasatan sama ada mangsa tersebut terjatuh dari feri atau pun sebaliknya,” katanya di sini semalam.
Menurut Hamizan lagi, operasi SAR melibatkan empat buah bot daripada APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pelabuhan Pulau Pinang turut menghantar dua buah bot untuk operasi pencarian,” katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Rafizi Ariffin berkata, pihaknya memperluas kawasan SAR sehingga ke arah utara.
Operasi SAR ditangguhkan kira-kira pukul 7.30 petang dan akan disambung pagi ini.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










