Penjenayah berputih mata, penggera kedai emas berbunyi - Utusan Malaysia

Penjenayah berputih mata, penggera kedai emas berbunyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 3 Feb. – Seorang penjenayah yang memecah masuk sebuah kedai emas terpaksa berputih mata apabila sistem penggera di premis terbabit tiba-tiba berbunyi, sehingga menyebabkan lelaki itu panik dan melarikan diri tanpa sempat mengambil barangan berharga di Jalan Ibrahim di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dipercayai memasuki premis terbabit melalui bumbung di tingkat dua bangunan, pada pukul 3.42 pagi.

Walau bagaimanapun kata beliau, semasa suspek yang berambut panjang dan berkulit cerah itu cuba menebuk dinding plywood di kedai emas terbabit, sistem penggeranya berbunyi.

“Dia kemudian melarikan diri menggunakan laluan sama. Polis tidak menemukan sebarang peralatan digunakan dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Adzli, unit kereta peronda telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja pemilik kedai memaklumkan bahawa sistem penggera di premisnya berbunyi.

“Siasatan awal mendapati suspek datang bersama seorang rakan dengan menaiki sebuah motosikal.

“Pasukan Forensik Ibu pejabat Polis Kontinjen negeri mendapati suspek telah memanjat tiang telefon di belakang kedai. Turut ditemukan enam cap jari di dinding plywood,” katanya lagi.

Beliau menambah, kes itu disiasat oleh Inspektor Nurzairin Mohd Nor di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN