Peniaga masih degil pamer tanda harga merah jambu - Utusan Malaysia

Peniaga masih degil pamer tanda harga merah jambu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Para peniaga di seluruh negara dikesan masih berdegil terhadap penggunaan tanda harga merah jambu apabila mencatatkan kesalahan paling tinggi sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baru Cina, sehingga semalam.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, kesalahan itu merekodkan 69 kes daripada 108 kes dilaporkan hasil pemeriksaan terhadap 15,617 premis. 

Katanya, kesalahan kedua yang tertinggi dicatatkan adalah berkaitan tidak meletakkan harga sebanyak 39 kes.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati tiada kesalahan menjual melebihi harga siling barangan ditetapkan.

“Nilai rampasan barang bersabit skim ini adalah RM12,977 dan kompaun yang dikeluarkan setakat ini adalah RM12,700. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya ketika ditemui dalam pemeriksaan di sebuah pasaraya di Seksyen 27, di sini hari ini.

Sebanyak 13 jenis barangan makanan disenarai kan di bawah SKHMP sempena Tahun Baru Cina selama 10 hari bermula 30 Januari lalu hingga 8 Februari ini. 

Barangan yang disenaraikan dalam skim tersebut termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), bawang putih (China), ikan bawal putih, udang putih besar, babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak). 

Mengulas lanjut, Iskandar menjelaskan bilangan kes direkodkan itu masih berada pada tahap minimun dan terkawal. 

“Berbanding tahun lepas, sebanyak 231 kes direkodkan sepanjang tempoh 12 hari SKHMP bagi musim perayaan yang sama.

“Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat peniaga melakukan kesalahan sepanjang tempoh SKHMP dikuatkuasakan supaya tindakan boleh dilakukan bagi melindungi hak pengguna,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN