KANGAR 29 Feb. – Rata-rata penyokong Perlis sudah menduga keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) untuk kekal dalam Liga Malaysia musim ini.
Namun, mereka sesekali tidak akan dapat melupakan tindakan barisan pengurusan terutamanya bekas Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie yang telah memalukan Singa Utara dan merosakkan pasukan bola sepak negeri ini.
Bagi mereka, tidak keterlaluan dikatakan bahawa pengurusan kali ini disifatkan paling teruk dalam sejarah bola sepak negeri ini dan situasi tersebut akan dikenang sebagai mimpi paling buruk.
Penyokong, Muhamad Zaim Redzuan, 33, berkata, keputusan MFL itu tepat selepas melihat keupayaan kewangan pasukan yang sememangnya tidak mampu untuk meneruskan saingan musim ini.
Katanya, pada masa ini, pihak pengurusan sebaik-baiknya memberi tumpuan untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan membuka lembaran baharu dengan bermula daripada bawah.
“Sekarang zaman bola sepak moden, pasukan kena ada pengurusan dan kewangan yang cekap. Kita sedia maklum, Perlis sememangnya tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh.
“Jadi tidak salah jika kita bermula daripada bawah, kembangkan bakat-bakat muda untuk diserapkan dalam pasukan negeri. Biarpun sedikit kecewa namun jalan itu adalah yang terbaik daripada melihat Perlis terus menjadi bahan kritikan,” katanya.
Anuar Arus, 37, mengakui bahawa Perlis selalu berhadapan dengan masalah gaji sebelum ini namun situasi yang berlaku kali ini dilihat paling memalukan dalam sejarah bola sepak negeri ini.
Katanya, pihak pengurusan terutama bekas Presiden PFA yang kini sudah melepaskan jawatan seolah-olah memberi harapan palsu kepada penyokong.
“Sepanjang dua bulan ini, nama Perlis menjadi perbualan dan tajuk utama berita hampir setiap hari. Semuanya adalah cerita-cerita kurang enak yang sekali gus merentap semangat para penyokong.
“Kita sudah lama merindui Perlis kembali menjadi pasukan digeruni namun harapan itu hanyalah sia-sia dengan tindakan tidak bertangungjawab Presiden ini,” katanya.
Jazaly Amry Jaafar, 33, pula berharap agar PFA diterajui oleh individu yang benar-benar layak dan mempunyai kesungguhan untuk membantu Singa Utara selepas ini. – UTUSAN ONLINE










