Pengundi Semenyih masih yakin PH mampu bela rakyat - Utusan Malaysia

Pengundi Semenyih masih yakin PH mampu bela rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH – Para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih masih yakin dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam membela nasib serta masa depan rakyat di kawasan itu.

Walaupun parti dikritik dengan pelbagai dakwaan yang tidak berasas, namun mereka masih menaruh harapan bahawa parti yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad itu mampu menguruskan negara serta rakyat dengan baik pada masa depan.

Menurut warga emas, Mat Arif Abdul Malik, 75, dia secara peribadi tidak ada masalah dengan kepimpinan PH sama ada peringkat Persekutuan dan negeri berbanding kerajaan sebelum ini yang terpalit dengan persepsi rasuah dan salah guna kuasa.

“Cumanya kita mahu kerajaan baharu (PH) ini memberi perhatian penuh kepada usaha-usaha membantu Bumiputera khususnya pembangunan orang-orang Melayu.

“Secara keseluruhan saya merasakan apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang adalah baik. Cuma perlu ada penambahbaikan lagi khususnya dalam membantu rakyat terutamanya di kawasan DUN Semenyih,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Kembung Hilir, di sini hari ini.

Pandangan yang sama turut disuarakan oleh Mariam Tompok, 59, yang mahukan PH supaya terus memberi perhatian terhadap permasalahan rakyat di kawasan DUN itu terutamanya dari segi bantuan-bantuan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.

Malah, beliau sendiri yang menetap di Kampung Sungai Kembung Hilir itu ketika ini menjaga kakak sulung, Norhaini Tompok, 68, yang lumpuh akibat strok lebih dari dua tahun lalu.

“Kalau dahulu (BN) saya pernah beberapa kali mengadu hal kepada ketua kampung dan wakil rakyat di sini mohon bantuan, tetapi tidak ada tindakan. Tetapi saya harap PH kalau wakil rakyat mereka menang dalam pilihan raya kecil Semenyih ini nanti, mereka ambil perhatian penuh kepada nasib dan permasalahan rakyat,” katanya lagi yang memohon bantuan kerusi roda.

Pada masa sama, seorang peniaga roti canai, Hishammuddin Mohd. Ali, 52, dari Kampung Desa Mahkota menyatakan sokongan serta yakin dengan kemampuan Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Saya walaupun hilang sebelah kaki kanan akibat penyakit kencing manis, saya kalau boleh mahu bersama-sama dalam perjuangan Dr. Mahathir. Saya tahu beliau dan PH boleh membawa rakyat dengan baik,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada rakyat yang memerlukan di kawasan DUN Semenyih melibatkan Kampung Rinching Tengah, Kampung Desa Mahkota dan Kampung Sungai Kembung Hilir.

Hadir sama Ahli Jawatankuasa NGO Kampung Sungai Kembung merangkap Yang Dipertua Dewan Perniagaan Asean Negeri Sembilan, Abdul Rahman Mokhtar.

“Usaha kita ini (menyalurkan bantuan) bukan kerana adanya pilihan raya kecil di DUN Semenyih, tetapi ini yang saya telah rancang berdasarkan maklumat serta aduan yang saya terima sebelum ini. Malah usaha ini menunjukkan keperihatinan kerajaan pimpinan Dr. Mahathir yang peka terhadap permasalahan rakyat,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN