HULU LANGAT 19 Feb. – Penerimaan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN) dilihat berubah menuju beberapa hari terakhir sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac depan.
Calon BN, Zakaria Hanafi berkata, masyarakat Cina di Semenyih dilihat bersedia menyokong BN ekoran kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji-janji yang ditabur sebelum pilihan raya umum tahun lalu.
“Masalah kebanyakan masyarakat Cina di Semenyih adalah melibatkan urusan perniagaan termasuklah mengenai lesen dan kemudahan. Kini mereka juga marah apabila janji-janji kerajaan PH tidak ditunaikan.
“Nampak perubahan, apabila kami datang mereka menerima dengan baik, dulu jika calon BN datang mahu bersalam ada yang tidak mahu bangun, tapi sekarang berubah. Mereka mahu BN jadi pembangkang yang kuat dan beri tekanan kepada kerajaan PH di Selangor,” katanya selepas beramah mesra dengan penduduk Kampung Baru Semenyih di sini hari ini.
Jumlah pengundi berdaftar di DUN Semenyih adalah sebanyak 54,471. Pengundi Melayu merupakan kelompok terbesar iaitu 69.2 peratus, diikuti Cina 16.8 peratus dan India 13.3 peratus.
Sementara itu, mengulas penyebaran risalah provokasi serta pemasangan kain rentang yang antaranya memaparkan perkataan perompak, penyamun, pencuri dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Zakaria menyerahkan isu tersebut kepada pengundi di Semenyih untuk menilai.
“Isu yang berkaitan itu orang ramai dah tahu, juga sudah menjadi kes mahkamah, nak cerita apa lagi, tunggulah keputusannya nanti. Biarlah orang ramai menilai,” katanya.










