KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak segera terhadap pemilik akaun Facebook ‘Foo Sing Wei’ yang didakwa secara biadab memuatnaik status menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut mempersoalkan mengapa zaman Kerajaan Pakatan Harapan yang kononnya peneraju Malaysia Baharu kini, semakin menjadi-jadi sikap rasis dan tindakan penghinaan kepada Islam.
“Semacam ada dua piawai yang berbeza diguna pakai apabila orang Melayu Islam dituduh rasis, begitu pantas sekali tindakan diambil.
“Sedangkan beberapa kes sebelum ini menyaksikan kebiadaban segelintir individu seperti Foo Sing Wei ini begitu lambat tindakan diambil walaupun berpuluh laporan polis dibuat,” kata Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya lagi, beliau berharap tidak berlaku sikap pilih kasih pihak kerajaan terhadap sesiapa jua yang memainkan sentimen perkauman dan penghinaan terhadap mana-mana Agama.
Katanya, rakyat hakikatnya merindui zaman kegemilangan Malaysia yang cukup harmonis dalam kepelbagaian agama dan kaum tanpa perlu hanya beretorik dengan label ‘Malaysia Baharu’. – K! ONLINE











