KUALA LUMPUR 7 Feb. – Seorang penggubah bunga berdepan dengan hukuman berat selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini atas dua pertuduhan mencederakan dua wanita termasuk ibu saudaranya dengan asid, Januari lalu.
Tertuduh, Shafiqah Izzati Badrul Hisham, 22, mengaku tidak bersalah dan memohon kes tersebut dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, Shafiqah Izzati didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap ibu saudaranya, Rafzaliza Rafli, 34, dan Nadia Mohd, Khalid, 35, dengan menggunakan asid di sebuah rumah Jalan Kencana, Taman Kencana Fasa 2, Pandan Perdana di sini pukul 3. 30 petang pada 29 Januari lalu.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Shafiqah Izzati atas faktor keselamatan kerana tertuduh mempunyai hubungan keluarga dengan salah seorang mangsa.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan ikat jamin dengan alasan dia mempunyai gangguan emosi.
Selepas mempertimbangkan hujah pihak terlibat, Suzana tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dengan menggunakan pakai fakta seperti yang dipohon pihak pendakwaan. Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Mac ini bagi tarikh sebutan semula kes.
Difahamkan kejadian itu berpunca ekoran masalah hutang dan akibatnya kedua-dua mangsa mengalami lecur yang teruk di bahagian muka dan badan.










