SUNGAI BULOH 19 Feb. – Seorang pengawal keselamatan maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Bukit Cerakah di sini awal hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superitenden Azman Shari’at berkata, mangsa, Mohd. Yazid Kamdani, 43, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepalanya akibat digilis.
Menurutnya, pihak polis Sungai Buloh menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.35 pagi mengenai kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda dengan sebuah kenderaan berat.
“Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Alam Denai menuju ke rumah adik iparnya di Meru, Klang.
“Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan setelah terlanggar batu di bahu jalan sebelah kiri menyebabkannya tercampak ke tengah jalan lalu digilis tayar belakang kenderaan berat yang bergerak di lorong kiri pada jalan yang sama,” katanya.
Azman memberitahu, polis tidak menolak kemungkinan pemandu lori itu tidak menyedari perkara tersebut dan meneruskan perjalanannya.
Katanya, motosikal mangsa mengalami kerosakan di bahagian lampu hadapan manakala mangsa disahkan maut oleh anggota paramedik Hospital Sungai Buloh yang berada di lokasi kejadian.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu hingga menyebabkan kematian,” ujarnya.
Saksi yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Riduan Ab. Razak di talian 017-3242787. – UTUSAN ONLINE











