KOTA BHARU 8 Feb. – Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menganggap pihak yang mengaitkan beliau dengan kes penyaluran wang RM90 juta kepada pemimpin Pas dan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai ‘tersalah orang’.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat memberitahu, beliau telah memberi kerjasama dengan menerangkan perkara sebenar dalam pertemuan dengan pegawai SPRM selama lebih sejam di pejabat SPRM Kelantan di sini hari ini.
“Saya memberi keterangan tentang beberapa perkara selepas dipanggil kerana ada laporan pasal RM90 juta itu. Saya fikir mereka yang buat laporan terhadap saya salah orang kot,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan pejabat SPRM Kelantan.
Terdahulu, Nik Mohamad Abduh tiba di pejabat itu pada pukul 10.20 pagi dengan memandu keretanya bersendirian tanpa ditemani sesiapa dan keluar dari situ pada pukul 12.30 tengah hari.
Beliau merupakan salah seorang daripada tiga ahli politik yang dipanggil memberi keterangan kepada SPRM hari ini berhubung dakwaan wang RM90 juta yang disyaki diterima pemimpin Pas melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mengenai isu rakaman audio mengaku menerima suapan yang didakwa sebagai suara beliau, Nik Mohamad Abduh berkata, perkara tersebut turut ditanya pegawai SPRM dan beliau telah menjelaskannya.
“Ada saya jawab sikit fasal rakaman itu, saya jawab pendek kerana tiada kaitan, dan saya dah jawab sebelum ini iaitu benda (dakwaan) itu adalah karut, fitnah,” katanya.










