IPOH 9 Feb. – Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini membuat laporan polis terhadap kerajaan negeri berhubung isu penerokaan tanah kerajaan secara haram seluas 10 hektar di Bukit Kledang di sini kerana mendakwa telah membiarkan kerja-kerja pembersihan itu berlaku termasuk penanaman kelapa sawit.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, R. Mohanarani berkata, pihak polis perlu menyiasat bagaimana kerja-kerja pembersihan tanah itu langsung tidak dapat dikesan serta diambil tindakan oleh mana-mana jabatan kerajaan berkaitan walaupun ia didakwa dilakukan dengan cepat menggunakan jentera berat.
Pada masa sama, Mohanarani berkata, pihaknya mahu mengetahui siapakah individu atau pihak terlibat yang langsung tidak takut menceroboh tanah tersebut memandangkan ia sebuah kawasan yang luas dan tidak tersembunyi.
“Kita mahu tanya siapa yang ada di belakang dia atau melindungi dia semasa melakukan kerja-kerja ini. Daripada ura-ura yang kita peroleh, kawasan yang mereka ingin bersihkan adalah seluas 24 hektar.
“Kawasan itu akan dibangunkan untuk perumahan dan satu lagi untuk penanaman semula hutan seperti apa yang dilakukan oleh penceroboh sekarang. Jadi, apabila kami membaca kenyataan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) (yang ada merancang untuk melaksanakan pembangunan bercampur), kami tertanya-tanya adakah projek ini sebenarnya haram atau mengikut undang-undang?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan berkenaan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.
Mohanarani turut mempersoalkan mengapa kawasan hutan yang cantik di Bukit Kledang dikorbankan kerana mendakwa Perak tidak mempunyai masalah kekurangan tanah untuk menjalankan projek perumahan.
“Dalam isu ini, kami rasa sangat kecewa kerana kita (rakyat) tiada peranan dalam cara negeri ini dibangunkan. Oleh itu, kita mahu polis bukan sahaja mengambil tindakan terhadap penceroboh, tetapi juga kecuaian agensi-agensi penguat kuasa yang kita syaki berkemungkinan ada perbuatan subahat,” katanya.
Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj berkata, pembangunan di lereng bukit tersebut akan memberi kesan terhadap alam sekitar termasuk sungai sekali gus menambah masalah banjir sedia ada yang kerap berlaku di Lembah Kinta.
Sementara itu, Ketua Biro Undang-Undang PSM Pusat, K.Kunasekaran berkata, tindakan kerajaan Pakatan Harapan negeri memberikan justifikasi bahawa projek pembangunan bercampur itu telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu, ia merupakan satu alasan remeh-temeh.
“Kerajaan pada hari ini adalah kerajaan Pakatan Harapan. Apabila anda mengambil alih kerajaan, anda memikul tanggungjawab untuk menjaga aset ini daripada diceroboh,” katanya. – UTUSAN ONLINE










