SEBERANG PERAI – Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah di Juru, Bukit Mertajam di sini ditahan polis awal pagi tadi selepas didakwa memecah masuk bilik guru dan mencuri sebuah mikrofon dan wang tunai.
Suspek berusia 27 tahun itu ditahan di kawasan sekolah tersebut kira-kira pukul 1.30 pagi ketika bertugas menjaga sekolah itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, tangkapan tersebut dibuat selepas pihak polis menerima laporan berhubung kejadian pecah masuk sekolah itu pada Rabu lalu.
“Guru Besar membuat laporan polis selepas dia dimaklumkan oleh Guru Penolong Kanan bahawa pejabat guru telah dipecah masuk.
“Kerugian dianggarkan sebanyak RM400 iaitu melibatkan sebuah mikrofon dan wang tunai RM250,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Menurut Nik Ros Azhan, hasil siasatan pihaknya ke atas suspek yang mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu mendapati dia mengaku terlibat dalam kegiatan berkenaan.
“Seorang rakannya yang masih bebas dikatakan turut terlibat selain polis turut merampas sebuah mikrofon daripada suspek,” katanya lagi.
Menurut Nik Ros Azhan, pihaknya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE










