LANGKAWI – Cubaan 12 lelaki disyaki penagih dadah untuk melarikan diri dengan merempuh sepasukan polis gagal apabila mereka ditahan dalam serbuan Ops Tapis di sebuah rumah di Kampung Paya Mengkuang, Mukim Ulu Melaka di sini semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 11.30 pagi itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi serta Balai Polis Kuah, Air Hangat, Kuala Teriang dan Padang Matsirat melakukan serbuan dengan memecahkan pintu belakang rumah tersebut.
Kesemua suspek yang terkejut bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan merempuh anggota serbuan, namun tindakan mereka sia-sia apabila berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, ketika serbuan dilakukan, semua suspek didapati dalam keadaan duduk di atas lantai sambil menghadap antara satu sama lain dipercayai sedang menghisap dan membungkus dadah.
“Hasil pemeriksaan menemui dua peket plastik lutsinar berisi ketulan dan serbuk disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 65 gram di dalam poket hadapan seluar pendek dipakai salah seorang suspek.
“Pemeriksaan di atas lantai rumah menemui dua peket plastik lutsinar dan lapan keratan straw berisi serbuk dan hablur kristal disyaki syabu dengan anggaran berat 7.7 gram serta 36 peket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki heroin seberat 63.33 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, semua suspek berusia antara 24 hingga 52 tahun itu didapati positif dadah jenis morfin selain memiliki rekod lampau berkaitan dadah.
“Suspek yang ditahan ada yang bekerja sebagai kerani, nelayan, buruh dan kru kapal,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua mereka ditahan reman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE








