Penagih dadah curi besi penghadang ditahan - Utusan Malaysia

Penagih dadah curi besi penghadang ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS 7 Feb. – Seorang lelaki yang gambarnya tular di dalam media sosial ketika sedang mencuri pagar besi penghadang di Sungai Dua di sini berjaya ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis, Isnin lalu.

Dalam kejadian pukul 7.25 malam itu, suspek berusia 35 tahun berkenaan ditahan orang awam bersama satu set pagar besi penghadang yang telah siap digergaji.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, seorang pekerja di Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) daerah ini telah menerima aduan daripada orang awam berkenaan kes kecurian pagar besi penghadang titi milik JPS di kawasan Sungai Dua.

“Seorang lelaki telah ditangkap bersama satu set pagar besi penghadang yang telah siap digergaji dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ini adalah kejadian kali kedua yang telah dilaporkan kepada pihak polis yang mana kejadian pertama berlaku di kawasan Kepala Batas di sini.

“Ketika itu gambar suspek yang sedang membuka pagar besi penghadang dan mengangkutnya dengan menggunakan sebuah motosikal telah di muat naik di media sosial dan telah tular,” katanya.

Tambah Noorzainy,  ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan mempunyai enam rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah dan jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek sedang ditahan reman di Lokap Sentral Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU untuk siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN