KUALA LUMPUR 13 Feb.- Pemuda Pas Wilayah Persekutuan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dakwaan DAP menerima dana asing termasuk dari Israel.
Naib Ketuanya, Ubaid Akla berkata, tindakan itu perlu diambil susulan beberapa laporan termasuk pendedahan bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng iaitu Mohamad Razali Abdul Rahman yang mendakwa DAP mengambil wang rasuah RM300 juta dari Israel.
Menurutnya, Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining turut mengeluarkan kenyataan secara terbuka bahawa pihaknya memberi dana kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) yang lalu.
“Walaupun pelbagai pendedahan telah dilakukan namun tiada sebarang tindakan tegas diambil terhadap pihak terlibat
“Jadi kita berharap pihak polis akan menyiasat secara terperinci berhubung perkara ini serta mengambil tindakan susulan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.
Ubaid tiba bersama beberapa pemuda Pas di IPD Dang Wangi kira-kira pukul 1 petang dan selesai membuat laporan sejam kemudian.
Tambah Ubaid, satu laporan akan dibuat kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat ini.- UTUSAN ONLINE










