Pemuda Pas Perak tuntut siasat dakwaan DAP terima dana asing - Utusan Malaysia

Pemuda Pas Perak tuntut siasat dakwaan DAP terima dana asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 14 Feb. – Pemuda Pas Perak hari ini membuat laporan polis untuk menuntut pihak berkuasa membuka semula kes serta menjalankan siasatan berkaitan aduan serta dakwaan DAP menerima dana asing. 

Timbalan Ketua Pemudanya, Mohd Hafez Sabri berkata, isu berkenaan telah memakan masa yang lama malahan tiada sebarang tindakan segera dan tuntas bagi menyiasat dana-dana diterima oleh parti itu selama ini.

“Sebelum ini Pas diasak oleh DAP berkenaan isu RM90 juta, bahkan kita memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat segala akaun-akaun Pas.

“Begitulah juga kita tuntut pada DAP supaya pihak berkuasa boleh menyiasat seluruh akaun-akaun yang ada pada DAP, dari mana DAP memperoleh dana selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar perkarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh selepas membuat laporan polis berkenaan di sini hari ini.

Mohd Hafez yang juga Exco Pemuda Pas Pusat berkata, laporannya pada hari ini merujuk kepada empat dakwaan termasuk laporan polis yang pernah dibuat selama ini kerana dipercayai boleh mendatangkan ancaman terhadap kedaulatan negara.

Beliau berkata, ia merujuk kepada pendedahan dibuat oleh bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng iaitu Mohamad Razali Abdul Rahman yang mendakwa DAP mengambil wang rasuah RM300 juta dari pihak Israel.

Selain itu katanya, bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff pernah membuat laporan polis terhadap pengasas Malaysiakini, Premesh Chandran dan Red Bean Army DAP dengan dakwaan menerima dana disalurkan oleh Open Society Foundations (OSF) milik George Soros.

“Dakwaan turut pernah dinyatakan oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa DAP menerima dana segera dari negara-negara luar untuk membiayai pilihan raya.

“Begitu juga Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining sendiri secara terbuka menyatakan bahawa pihaknya mendanai Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN