TEXAS 6 Feb. – Seorang lelaki maut akibat serangan angin ahmar yang teruk selepas rokok elektronik yang digunakannya meletup sehingga mengoyakkan saluran arteri karotid yang membawa bekalan darah ke bahagian kepala dan otak.
CNN melaporkan, William Brown meninggal dunia di Hospital Fort Worth pada 29 Januari lalu, beberapa minggu sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-25 tahun.
Menurut pakar perubatan, punca kematian Brown adalah disebabkan oleh kekurangan bekalan darah dan oksigen di bahagian otak selepas serpihan rokok elektronik yang meletup mengoyakkan saluran karotid sehingga gagal membekalkan darah mencukupi.
Insiden letupan itu dilaporkan berlaku pada 27 Januari lalu di sebuah tempat letak kenderaan di premis menjual rokok elektronik dan peralatannya.
Pengurus premis Smoke dan Vape DZ memberitahu CNN, dia menghubungi ambulans selepas letupan itu berlaku.
Sebelum itu, Brown masuk ke dalam kedai tersebut untuk minta bantuan bagaimana menggunakan rokok elektroniknya, namun tidak membuat sebarang pembelian.
Selepas insiden tersebut, Brown dikejarkan ke hospital dan berada dalam keadaan koma kerana keadaannya yang kritikal.
Neneknya memaklumkan, serpihan rokok elektronik yang meletup itu turut melukakan bibir Brown.
Sementara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan (CDC) memaklumkan, lebih seorang daripada 10 dewasa akan mencuba rokok elektronik dengan sebanyak 195 kes melibatkan letupan serta kebakaran berpunca daripada alat tersebut berlaku di Amerika Syarikat antara 2009 dan 2016.
Pada Mei tahun lalu, seorang lelaki di Florida meninggal dunia selepas rokok elektroniknya meletup dan serpihan alat tersebut melekat pada kepala mangsa.










