KUALA LUMPUR 10 Feb. – Isu tentang kelulusan akademik para menteri dan timbalan menteri baru-baru ini mewujudkan persoalan dalam fikiran rakyat Malaysia iaitu sama ada seseorang perlu memiliki ijazah untuk menjadi ahli politik?
Bagi penganalisis politik, Azmi Hassan, perkara itu bukanlah kewajipan namun adalah wajar bagi seseorang ahli politik, terutamanya yang menjadi pemimpin kerajaan memiliki sekurang-kurangnya kelulusan akademik di peringkat minimum.
Kata beliau, ini supaya pemimpin kerajaan mempunyai pengalaman akademik yang dapat membantu mereka menjadi pemimpin yang lebih baik dan mampu berhujah berasaskan fakta.
“Secara globalnya, setiap pemimpin kerajaan itu perlu memiliki, paling tidak, kelayakan akademik yang paling minimum. Sebab yang paling utama, mereka terpaksa berurusan dengan pemimpin luar yang lain dan juga teknologi sekarang begitu pantas.
“Bukan (semestinya) daripada universiti yang berprestij tetapi mereka sudah melalui proses akademik. Tak semestinya (bidang) perniagaan atau sains politik, apa jua kursus akademik mereka terpaksa melalui (pengalaman) mempertahankan hujah mereka melalui fakta. Pengalaman akademik itu akan dibawa ke bidang politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketika diminta mengulas kontroversi kelayakan akademik beberapa anggota Kabinet baru-baru ini, Azmi berpendapat, selain daripada ahli Kabinet tersebut yang mesti bertanggungjawab dengan kesalahan yang dilakukan, masyarakat juga ada silap tersendiri.









