Pembonceng maut tercampak atas pembahagi jalan - Utusan Malaysia

Pembonceng maut tercampak atas pembahagi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 13 Feb. – Seorang wanita maut akibat tercampak di atas pembahagi jalan selepas motosikal yang diboncengnya bergesel dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Melaka Sentral, di sini malam tadi.

Mangsa, Ros Izanie Amira Mohd. Yakub, 23, meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah termasuk kepalanya terhentak pada tiang lampu.

Kejadian berlaku pada pukul 10 malam ketika mangsa membonceng motosikal jenis Yamaha LC135 ditunggangi sahabat lelakinya berusia 20 tahun untuk berjumpa rakan mereka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian, motosikal dinaiki dua sahabat itu dalam perjalanan dari arah Bachang menghala ke Bukit Baru.

“Siasatan awal mendapati, motosikal mangsa yang berada di kiri jalan bergesel dengan sebuah kereta Perodua Kenari.

“Berikutan pergeseran itu, motosikal dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan mengakibatkan mangsa yang maut tercampak ke atas pembahagi jalan dan kepalanya terhantuk pada tiang lampu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Afzanizar, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya yang menunggang motosikal hanya mengalami luka di tangan.

Bagaimanapun katanya, sehingga petang ini pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan itu belum tampil membuat laporan polis.

“Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu dan mempunyai maklumat mengenai kereta Perodua Kenari tersebut untuk tampil atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN