JAKARTA 12 Feb. – Ibu kepada calon naib pre siden (cawapres) nombor 2, Mien Uno meminta pihak yang menuduh anaknya, Sandiaga Uno melakukan ‘Sandiwara Uno’ supaya meminta maaf kepadanya.
Detiknews melaporkan, Jurucakap Pasukan Kempen Nasional (TKN) Jokowi-Ma’ruf, Ace Hasan Syadzily sebaliknya menyarankan ibu bapa tidak sepatutnya dilibatkan dalam politik terutamanya ketika pilihan raya Presiden (Pilpres) Indonesia.
“Kita harus menghormati kepada Mien dan ibu-ibu di Indonesia yang telah mendidik dan membesarkan tokoh politik nasional.
“Mereka adalah ibu bangsa Indonesia yang sangat luar biasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, Mien mengaku dia sakit hati kerana anaknya sering dituduh bersandiwara dan meminta pihak berkenaan supaya meminta maaf darinya.
Bagaimanapun jelas Ace, beliau menyarankan ahli politik sebaik-baiknya jangan melibatkan ibu bapa untuk melindungi diri mereka.
“Kasihan mereka, cukup dengan doa dan restu diberikan malah sebagai ahli politik kita harus bersedia menghadapi pelbagai serangan dan tuduhan.
“Contohi Jokowi, meskipun empat tahun dicaci, difitnah dan dihina, beliau tetap terus menjalankan kerja serta tidak melibatkan orang tuanya,” jelasnya,
Ace memberitahu, ibu Jokowi dan keluarga juga menjadi sasaran fitnah namun mereka berdoa agar terus diberikan kekuatan tanpa terlibat dalam politik. – AGENSI











