SHAH ALAM – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian isterinya, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohammad Ridzuan Misropi, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian isterinya, Rosnani Samsudin, 44, di sebuah rumah di Batu 6, Bukit Naga di sini pukul 9.30 malam, 7 Februari lalu.
Justeru itu, dia didakwa di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 beserta seorang penjamin yang sihat.
Selain itu, Khairul turut memohon kepada mahkamah supaya tertuduh tidak menganggu saksi pendakwaan yang tinggal berhampiran dengan Mohammad Ridzuan.
Peguam Shalehhuddin Salam yang mewakili tertuduh memohon supaya pengurangan wang ikat jamin itu berikutan anak guamnya menanggung lima orang anak berusia lima hingga 18 tahun.
“Anak guam saya perlu menjalani rawatan setiap bulan susulan turut cedera (melecur) akibat kejadian tersebut selain ibunya sendiri berusia 61 tahun akan menjadi penjaminnya,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan wang ikat jamin sebanyak RM8,000 dan membenarkan ibu tertuduh menjadi penjaminnya selain tidak membenarkan tertuduh menganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan 14 Mac depan.
Kosmo! pada Isnin lalu melaporkan seorang kerani kilang yang melecur hampir 50 peratus pada muka dan tangan selepas bergaduh dengan suaminya meninggal dunia setelah 10 hari bertarung nyawa di Hospital Kuala Lumpur. – K! ONLINE










