Pemain Melaka jangan pandang mudah cabaran Pahang - Utusan Malaysia

Pemain Melaka jangan pandang mudah cabaran Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Pemain pertahanan Melaka, Mohd Razman Roslan mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang mudah cabaran pendahulu Liga Super, Pahang, apabila kedua-dua pasukan berentap pada aksi ketiga liga di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Sabtu ini.

Bekas pemain kebangsaan itu menegaskan walaupun skuad Tok Gajah berada pada prestasi terbaik, namun kelebihan beraksi di laman sendiri seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin rakan sepasukan untuk melakar keputusan positif.

“InsyaAllah untuk aksi menentang Pahang, kita tetap akan memberi komitmen terbaik dan mengharapkan bermain di hadapan penyokong sendiri, kita dapat mengejutkan Pahang.

“Pahang serba lengkap di setiap posisi, jadi kita tidak boleh ambil mudah dan kekalkan momentum pada dua perlawanan sebelum ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mengulas lanjut, anak jati Kajang, Selangor itu mengakui dua kemenangan berturut-turut yang dilakar sebelum ini jelas membakar semangat pemain skuad Hang Tuah untuk meneruskan aksi cemerlang dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Untuk rekod, Melaka menundukkan Petaling Jaya City FC 2-1 pada aksi pembukaan Liga Super, 2 Feb lepas di laman sendiri, sebelum menang tipis 1-0 ke atas PKNS FC pada 9 Feb di Stadium Shah Alam.

Melaka berkongsi enam mata dengan Pahang dan Johor Darul Ta’zim, namun berada di tangga ketiga Liga Super berdasarkan perbezaan jumlah jaringan berbanding dua pasukan berkenaan.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN