KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diingatkan agar tidak memandang ringan soal menjaga hubungan antara masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk dikekalkan.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, walaupun kini rakyat Malaysia bertuah kerana masih dapat meraikan pelbagai perayaan termasuk Tahun Baru Cina dengan penuh harmoni dan aman, namun keadaan mungkin tidak sentiasa begitu.
Ini kerana, katanya, ada pihak yang cuba mengeruhkan keharmonian ini untuk tujuan tertentu. Sehubungan itu, semua pihak diharap tidak membiarkan diri mereka terhasut dengan perkara sebegitu.
“Di dalam sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum, agama, kita dapat meraikan kepelbagaian ini, dengan penuh keharmonian dan keamanan. Ini merupakan satu perkara yang biasa bagi kita.
“Tetapi ia tidak sentiasa begitu. Menjaga hubungan antara rakyat berlainan kaum dan agama, budaya, bukanlah satu perkara yang mudah dan kita tidak boleh pandang ringan perkara ini,” katanya dalam video perutusan Tahun Baru Cina yang dimuat naik di laman sosialnya hari ini. – Bernama










