SINGAPURA 22 Feb. – Brigadier Jeneral Kelvin Khong Boon Leong akan mengambil-alih sebagai Panglima Tentera Udara Singapura (SAF) yang baharu, berkuat kuasa 22 Mac ini.

Beliau yang kini Ketua Turus Turus Bersama menggantikan Mejar Jeneral Mervyn Tan Wei Ming.
“Perubahan ini merupakan sebahagian daripada proses pembaharuan kepimpinan berterusan dalam Angkatan Tentera Singapura (SAF),” kata Kementerian Pertahanan Singapura (Mindef) menerusi laman sesawangnya hari ini.
Kelvin, 43, menyertai SAF pada 1995 dan dianugerahkan Biasiswa Seberang Laut SAF.
Beliau yang mempunyai pengalaman sebagai juruterbang pesawat F-15SG adalah Pegawai Pemerintah Skuadron F-15SG pertama di Singapura – Skuadron 149.
Beliau juga menyandang beberapa jawatan penting dalam Tentera Udara Republik Singapura (RSAF), termasuk Ketua Perancangan Udara; Pemerintah Markas Tempur Udara; Ketua Operasi Udara; dan Ketua Turus-Turus Udara.
Menurut Mindef, Kelvin memainkan peranan penting dalam pemodenan RSAF dan juga mengambil bahagian dalam pelbagai operasi RSAF, eksesais dan detasmen latihan.
Mengenai Wei Ming yang telah tamat tempoh perkhidmatan, kementerian menzahirkan penghargaan yang mendalam atas kepimpinan dan sumbangannya yang cemerlang kepada Mindef dan SAF.
Wei Ming, 46, yang menyertai SAF pada 1990, menerajui RSAF sebagai Panglima Tentera Udara sejak 28 Mac, 2016.
Di bawah kepimpinannya, RSAF telah memperkukuhkan hubungan pertahanan dan meningkatkan kerjasama yang lebih mantap dengan tentera udara lain dan negara rakan. – BERNAMA










