Pelajar Malaysia kongsi pengalaman ketika Polar Vortex - Utusan Malaysia

Pelajar Malaysia kongsi pengalaman ketika Polar Vortex

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Tangan membeku dan sakit. Itu merupakan pengalaman seorang pelajar Malaysia di Iowa State University, Amerika Syarikat berhadapan suhu bawah sifar ketika negara itu dilanda cuaca dingin melampau akibat Polar Vortex.

Wan Abdul Rahman Wan Azhar, 21, pelajar Ijazah Pengurusan Rantaian Bekalan berkata, pengalamannya berhadapan dengan keadaan sejuk melampau itu ketika keluar dari rumah sewanya ke perhentian bas untuk ke universiti pada Rabu lepas.

Penuntut tahun pertama dari Bukit Jelutong, Selangor itu berkata suhu ketika itu mencecah kira-kira -40 darjah Celsius.

“Saya tak pakai sarung tangan lagi, walaupun ada di dalam poket baju sejuk kerana bergegas takut tertinggal bas. Tidak sampai lima minit, tangan dah rasa macam beku dan sakit,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini. Bagaimanapun beliau menjelaskan sakitnya itu tidak berlarutan.

Wan Abdul Rahman berkata, pada hari tersebut, pihak pengurusan Iowa State University telah mengumumkan semua kelas pengajian dibatalkan ekoran cuaca ekstrim, namun katanya, beliau masih perlu ke universiti berkenaan kerana membuat kerja sambilan di dewan makan.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 12 maut di beberapa negeri di Amerika Syarikat termasuk di Chicago, Michigan, Iowa, Indiana dan Illinois susulan cuaca sejuk melampau yang melanda negara itu.

Seorang lagi penuntut di univerisiti itu, Muhamad Imran Maszeri, 21, berkata beliau terpaksa memakai empat lapisan pakaian bagi memanaskan badan untuk keluar ke universiti dan mendapatkan barang keperluan harian.

Penuntut Ijazah Kejuruteraan Perisian itu berkata, pihak polis menasihatkan penduduk supaya mengelak berada di luar rumah jika tiada urusan penting kerana cuaca berkenaan boleh mengakibatkan gigitan fros.

“Apabila tidur terpaksa pakai beg tidur dengan comforter untuk tutup satu badan, alat pemanas pula dinaikkan hingga 30 darjah celsius daripada 20 darjah celsius kebiasaannya,” kata penuntut dari Bandar Kinrara, Puchong itu sambil menambah suhu pada hari ini (2 Februari waktu tempatan) adalah 6 darjah celsius.

Bagaimanapun, katanya beliau dan lima rakan serumahnya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan ekoran keadaan cuaca tersebut. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN