SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum memutuskan untuk memansuhkan tawaran diskaun ke atas bayaran saman trafik.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan mendapatkan butiran lengkap mengenai tawaran diskaun ke atas saman trafik dan merujuknya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dahulu sebelum memberi sebarang kata putus.
Beliau berkata, pemberian diskaun itu bertujuan meringankan beban bayaran saman yang dikumpul pesalah trafik, menggalakkan mereka melunaskannya selain merapatkan hubungan dengan masyarakat.
“Bukan selalu kita beri diskaun (saman trafik). Ada kesalahan tertentu yang sudah terlampau banyak jumlah samannya. Malah, kontinjen juga tidak boleh beri diskaun sewenang-wenangnya dan perlu mendapat kebenaran Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman terlebih dahulu.
“Pemberian diskaun (saman trafik) yang kita laksanakan itu nampaknya dialu-alukan oleh masyarakat dan (melalui diskaun saman) kita beri ruang kepada pesalah trafik untuk selesaikan saman mereka supaya polis tidak perlu mengeluarkan waran tangkap,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor yang baharu, di sini hari ini. – Bernama










