Pas sudah beri kerjasama penuh - Utusan Malaysia

Pas sudah beri kerjasama penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 13 Feb. – Pas sudah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin parti itu dijalankan dengan telus dan profesional.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, setakat ini Setiausaha Agung parti, Datuk Takiyuddin Hassan telah bertemu dengan pihak SPRM di samping Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang turut dipanggil untuk memberi kenyataan. 

“Kita dah beri segala kenyataan perlu yang diminta oleh SPRM jadi, kita tunggulah apa keputusannya. 

“Cuma kita minta supaya SPRM siasat juga DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR daripada mana mereka dapat duit, jangan siasat Pas sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra dengan komuniti perumahan awam kos rendah (PAKR) Sungai Kerak di sini malam tadi. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman audio perbualan seorang individu menyentuh isu Pas menerima dana daripada UMNO yang disahkan memang suara milik Nik Mohamad Abduh. 

Perkara itu telah diakui Nik Mohamad Abduh sendiri namun, konteks sebenar perbualan tersebut hanya diambil ‘separuh jalan’ dan tidak sebagaimana dicanang-canangkan musuh politik Pas.

Menurut Abdul Hadi, rakaman audio itu lebih bersifat kepada perbincangan akademik mengenai bantuan yang mahu diterima Pas semasa menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. 

“Macam orang berniaga kedai runcit apabila ada orang nak beli barang jadi kita berilah. Begitu juga dengan Pas siapa-siapa boleh masukkan derma dalam akaun kita. Semasa PRU lepas banyak yang menderma termasuk kalangan bukan Islam tetapi, kita tidaklah tanya apa parti politik dia. 

“Kita sudah beri segala kenyataan kepada SPRM termasuk yang dermakan  RM10 atau RM5. Kita beri semua kenyataan itu untuk siasat,” katanya. 

Terdahulu, Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Pas telah mengemukakan penyata akaun bank parti itu daripada tahun 2015 iaitu sehingga yang terkini kepada pihak SPRM. 

Ia selaras bagi membantu siasatan susulan ada pihak membuat aduan kononnya Pas telah menerima sogokan RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN