KUALA LUMPUR 13 Feb.- Pas telah mengemukakan penyata akaun bank parti tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini bagi membolehkan siasatan mengenai dakwaan beberapa pemimpin Pas menerima wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijalankan.
“Ini selaras dengan pendirian tegas Pas apabila SPRM memulakan siasatan, setelah ada pihak membuat aduan kononnya Pas telah menerima sogokan RM90 juta daripada 1MDB.
“Penyata akaun Pas Pusat yang diserahkan itu bermula daripada tahun 2015 iaitu sebelum tarikh artikel mengenai dakwaan tersebut (Ogos 2016) sehingga yang terkini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, Pas yakin dokumen tersebut membolehkan SPRM menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional.
Sebelum ini, Editor portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam artikel yang diterbitkan portal Sarawak Report mendakwa pimpinan tertinggi Pas mungkin menerima RM90 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendorong bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN). – UTUSAN ONLINE










