PUTRAJAYA 28 Feb.- Pas akan mendedahkan segala dokumen bagi menjawab dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan Pas dikatakan membayar lebih RM1 juta kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan membuat sidang akhbar dalam masa terdekat bagi menjawab segala dakwaan tersebut.
“Saya akan jelaskan kesemuanya sebab kita ada semua dokumen, we believe document speak louder than word (kita percaya dokumen bercakap lebih kuat daripada kata-kata).
“Bukan macam dia (Anwar), cuma cakap ikut hearsay (khabar angin), dia kena tunjuk penyata kalau macam itu,” katanya ketika ditemui selepas memberikan keterangan hampir lima jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Menurut Takiyuddin lagi, seperti ditegaskan beliau sebelum ini, penyata Pas Pusat telah diserahkan kepada SPRM sejak Januari 2015 sehingga Disember 2018.
“Sebab itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull memberi kesimpulan bahawa pihaknya tidak menjumpai apa-apa duit dalam akaun Pas Pusat,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Pas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat tuduhan itu, Takiyuddin berkata, pihaknya akan membuat keputusan berhubung perkara tersebut kemudian.
Semalam, Anwar mengakui mempunyai maklumat dan bukti berhubung dakwaan Pas membayar lebih RM1 juta kepada Rewcastle-Brown kononnya bagi menyelesaikan saman antara kedua-dua pihak di luar mahkamah. – UTUSAN ONLINE










