KUALA LUMPUR 3 Feb. – Kumpulan Parkson akhirnya akan menutup operasi setelah beroperasi dua dekad di kompleks beli-belah Suria KLCC di sini.
Menerusi notis yang dimuat naik dalam laman Facebook kelmarin, pengendali pasar raya itu akan menjalankan jualan penutupan kedai di cawangannya, Suria KLCC sehinggga 17 Februari ini.
Kedai tiga tingkat dengan keluasan 11,706 meter persegi dibuka pada 1998 dan menjadi penyewa Suria KLCC antara yang terawal.
Pemerhati industi yang enggan didedahkan namanya berkata, penutupan pasar raya itu dilihat sebagai satu usaha Suria KLCC untuk mempelbagaikan penyewanya selain mengkehendaki lot yang akan dikosongkan berkenaan.
“Dari apa yang saya fahami, Parkson tidak mahu menutup operasinya dan berminat untuk terus kekal kewujudannya di Suria KLCC,” kata pemerhati industri itu seperti dipetik laporan akhbar The Star, semalam.
Pada waktu ini, Parkson mempunyai 100 buah kedai di rantau ini dan 40 daripadanya di Malaysia dengan keluasan 464, 515 meter persegi.
Tahun lalu, syarikat telah menutup kira-kira 20,439 meter persegi kedai cawangan di kompleks Maju Junction, persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Parkson di Maju Junction merupakan antara yang terawal menyewa di sana dan beroperasi sejak 2014.
Selain itu, pasar raya itu turut menutup premis seluas 9,941 meter persegi di Sungai Wang Plaza yang dibuka sejak 1987, begitu juga kedai Parkson Flemington di Ho Chi Minh, Vietnam.
Menurut jurucakap Parkson pula, penutupan itu adalah perlu berikutan perubahan dinamik pasaran. -UTUSAN ONLINE











