PULAU PINANG 19 Feb. – Cuaca panas berpanjangan di negeri ini sejak awal Januari lalu mula memberikan kesan terhadap kadar simpanan air mentah di Empangan Air Itam di sini, yang kini mengalami penurunan ketara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, kapasiti efektif Empangan Air Itam pada masa ini adalah pada kadar 67.3 peratus semalam, berbanding 92.2 peratus pada 1 Januari lalu.
“Oleh kerana cuaca panas dan kemarau, kapasiti efektif Empangan Air Itam menurun sebanyak

24.9 peratus dalam tempoh 1 Januari hingga semalam.
“Oleh itu, PBAPP memohon kerjasama daripada semua pengguna air di Air Itam dan kawasan sekitarnya agar mengurangkan penggunaan air harian dengan segera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Jaseni, fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga hujung Mac ini.
Katanya, taburan hujan yang rendah adalah sebab utama penurunan dramatik dalam kapasiti efektif Empangan Air Itam.
“Dalam tempoh 1 Januari hingga semalam, tolok taburan hujan di empangan ini mencatatkan hanya 94 milimeter (mm) berbanding tolok taburan hujan di Teluk Bahang mencatatkan 172.5 mm hujan dalam tempoh yang sama,” katanya.
Beliau menjelaskan, Empangan Air Itam menyimpan air mentah yang digunakan untuk operasi bekalan air di bandar Air Itam dan kawasan sekitarnya.
“Penggunaan air yang tinggi adalah sebab sekunder untuk penurunan ketara dalam kapasiti efektif Empangan Air Itam sejak 1 Januari lalu.
“Tahap penggunaan air yang tinggi ini agak gawat, terutama apabila simpanan air mentah di Empangan Air Itam mengalami penurunan yang ketara,” katanya.











