TUMPAT 21 Feb. – Papan iklan dalam bahasa Melayu dan Thai mengandungi mesej berkaitan pencegahan rasuah di Pengkalan Kubor, di sini berjaya mencuri perhatian orang ramai, khususnya mereka yang berulang-alik melintasi sempadan Malaysia-Thailand.
Papan iklan itu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dipasang tidak jauh dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor dengan ungkapan berbunyi ‘Tok Sey Rasuah, Pakat Lapor Rasuah!’ serta ‘Rasuah Dihina, Maruah Dibina’.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesional) SPRM, Datuk Jaafar Mahad berkata, papan tanda itu merupakan inisiatif terbaharu pihaknya dalam memperhebat usaha mengajak masyarakat serta anggota penguat kuasa yang bertugas di sempadan supaya menjauhi salah laku tersebut.
Katanya, Kelantan dipilih sebagai perintis kepada inisiatif baharu SPRM itu dan pendekatan sama akan diperluas ke seluruh negara dalam masa terdekat membabitkan kesemua pintu masuk utama Malaysia.
“Hari ini selain di Pengkalan Kubor, dua lagi pintu masuk utama Kelantan yang bersempadan dengan Thailand iaitu Rantau Panjang di Pasir Mas dan Bukit Tuku di Jeli turut dipasang papan iklan dengan mesej yang sama.
“Ini merupakan inisiatif baharu SPRM di samping pelbagai bentuk kempen sedia ada seperti Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Kita harap kempen ini dapat meningkatkan tahap kesedaran masyarakat serta peringatan kepada anggota penguat kuasa yang bertugas di sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Papan Iklan Pencegahan Rasuah Dwi-Bahasa (Malaysia-Thai) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, di sini hari ini.
Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Wan Roslan Wan Hamat yang mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Yang turut hadir, Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Mongkol Sinsombon. – UTUSAN ONLINE











