Pantau ijazah palsu - Utusan Malaysia

Pantau ijazah palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMELUT penggunaan ijazah palsu bagi mendapatkan pekerjaan dan membangunkan kerjaya masa depan rakyat negara ini termasuk dalam bidang politik semakin hangat dibincangkan melalui media cetak dan media sosial pada masa kini.

Ia menjadi semakin panas apabila isu berkenaan membabitkan kepemimpinan politik yang dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negara ini.

Paling menarik untuk difikir dan dibincangkan ialah pendapat mengatakan kejayaan seseorang itu dalam kerjaya masing-masing bukan semata-mata ditentukan berapa tinggi kelulusan akademiknya.

Sesetengah berpendapat, kejayaan seseorang dalam bidang pengurusan atau pentadbiran negara dan organisasi lain bergantung kepada pengalaman serta kemahiran ma­sing-masing.

Sebenarnya, kelayakan akademik, pengalaman dan kemahiran saling berkait rapat dengan pencapaian kerjaya seseorang.

Perdana Menteri sememangnya mempunyai kuasa mutlak melantik seseorang menteri atau timbalan menteri dalam kerajaannya berdasarkan budi bicaranya sendiri.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba tidak memiliki sebarang ijazah tetapi berjaya memegang jawatan berkenaan suatu masa dahulu ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat.

Namun begitu, Ghafar adalah bekas guru lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak dan pernah menjadi Naib Presiden UMNO lebih 25 tahun.

Ketika berlaku krisis politik dalaman UMNO, Ghafar dinaikkan pangkatnya sebagai Timbalan Presiden UMNO sesuai dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandangnya.

Sesuai dengan arus pentadbiran moden, ahli UMNO mahukan Timbalan Perdana Menteri yang berkelayakan akademik tinggi mendorong mereka menaikkan pula Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan Tun Ghafar.

Nilai kelayakan akademik Ghafar ketika itu mungkin boleh disamakan dengan kelulusan ijazah dan diploma masa kini.

Bagaimanapun, tanggapan sedemikian sudah tidak boleh diaplikasikan pada zaman ini kerana rakyat berkelulusan tinggi semakin ramai.

Mereka yang berkelulusan tinggi dianggap lebih berkualiti dalam pentadbiran kerajaan mahupun swasta.

Apa pun yang diperkatakan dewasa ini tentang ijazah palsu, ia perlu diambil perhatian serius berasaskan beberapa faktor kerana rakyat semakin celik terhadap kepentingan pendidikan akademik dan kerjaya.

Sehubungan itu Kementerian Pendidikan harus melakukan pemantauan yang lebih kemas bagi memastikan tidak ada rak­yat di negara ini menggunakan ijazah palsu bagi tujuan tertentu.

Dengan menggunakan teknologi terkini, pelbagai cara pihak tertentu mendapatkan ijazah palsu dengan cara lebih mudah tanpa berusaha dengan bersungguh-sungguh sebagaimana yang dilakukan graduan terdahulu.

Saya mencadangkan majikan yang mahu mengambil seseorang pekerja berkelulusan ijazah dikehendaki menyemak terlebih dahulu transkrip yang dibawa ketika temuduga de­ngan institusi pendidikan yang mengeluarkannya bagi mengelakkan gejala pemalsuan ini terus berleluasa.

Pemantauan yang lemah mendorong mereka yang tidak berkelayakan secara tulen menyalahgunakan peluang me­nipu bagi merosakkan struktur ekonomi, politik dan sosial negara ini suatu masa nanti.

DATUK DR. AZMI ABDUL MALEK ialah perunding media dan penyelidikan sains politik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN