Panduan menziarahi kenalan semasa Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Panduan menziarahi kenalan semasa Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Amalan ziarah-menziarahi semasa musim perayaan amatlah digalakkan, terutamanya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum kerana ia mampu mengeratkan persaudaraan sekali gus mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini.

Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut bermula esok, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkongsi beberapa panduan bagi orang Islam ketika menziarahi kenalan sepanjang sambutan ‘hari raya’ bagi kaum Tionghoa ini.

Firdaus yang merupakan seorang mualaf berbangsa Cina pastilah lebih arif tentang budaya kaum Cina ketika menyambut perayaan ini.

Menurutnya, antara beberapa ‘pantang’ masyarakat Cina adalah memakai pakaian berwarna hitam, bercakap tentang perkara-perkara buruk seperti kemalangan dan kematian semasa datang ke rumah serta tidak menyapu rumah pada dua hari pertama perayaan itu.

“Elakkan pakaian berwarna hitam kerana mungkin ada segelintir masyarakat Cina yang pantang, warna hitam menurut mereka adalah warna sial. Kita sebagai Muslim tidak percaya akan itu tetapi sebagai tanda menghormati mereka.

“Elakkan bercakap topik berkaitan kemalangan, kematian dan malapetaka mahupun politik. Itu tabu untuk masyarakat Cina terutamanya pada Tahun Baharu Cina,” katanya melalui akaun Facebook miliknya di sini hari ini.

Tahun Baharu Cina merupakan perayaan yang disambut masyarakat Cina di seluruh dunia. Di Malaysia, ia merupakan satu perayaan utama yang disambut memandangkan masyarakat Cina di negara ini merangkumi kira-kira 23 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia.

Tambah Firdaus, pemberian hadiah berupa buku dan jam juga tidak sesuai kerana sebutan buku (shu) dalam bahasa Mandarin mempunyai bunyi yang sama dengan kalah (shu).

Dia turut mengingatkan supaya orang Muslim tidak terlibat dengan aktiviti yang menyalahi syarak ketika bertandang ke rumah kenalan seperti berjudi dan meminum arak selain perlu selalu peka dengan waktu solat fardu agar tidak terlepas.

“Boleh menikmati jamuan yang disediakan selagi yakin ia halal. Jika tidak yakin, beritahu (tuan rumah) masih kenyang dan ambil kekacang lain sebagai tanda hormat kepada tuan rumah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN