KUALA LUMPUR 10 Feb. – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, tindakan sesetengah individu yang memalsukan kelayakan akademik adalah tidak bermoral.
Ini berikutan kontroversi yang melanda beberapa pemimpin kerajaan, termasuk tiga daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.
Turut terpalit dengan isu tersebut ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
“Pendirian saya secara peribadi, tak kira mana-mana pihak (yang melakukannya), pemalsuan ijazah (atau) diploma adalah sesuatu yang tidak bermoral,” tegasnya ketika ditemui pemberita di Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang dekat sini hari ini.
Merujuk kepada kedudukan Marzuki, Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Bersatu berkata, beliau menyerahkan kepada pertimbangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Isu ini Presiden parti (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah mengulasnya dan apa yang lebih penting, serah kepada Perdana Menteri (Dr. Mahathir) untuk menentukan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berharap pihak yang berkenaan dapat memberi penjelasan kepada umum.
Kata beliau, penjelasan itu penting kerana sekiranya isu berkenaan melibatkan universiti-universiti yang tidak mendapat akreditasi, ia bukanlah masalah yang besar.
Jelas beliau, ini memandangkan terdapat banyak universiti yang tidak memperoleh akreditasi pada 2005 dan tahun-tahun sebelumnya.
“Yang penting akhirnya adalah orang yang diberi amanah itu mempunyai sifat ‘keamanahan’ dan berusaha dengan sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab dengan semua kemampuan yang ada pada diri. Itu yang penting,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Putrajaya Park’s Day di Putrajaya.









