KUALA LUMPUR 7 Feb.- Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan mempersoalkan sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak pernah membuat sebarang permohonan maaf setelah melakukan kesalahan.
Ini termasuklah pendedahan status ijazah dimiliki Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya didakwa palsu sebelum diubah kepada nama universiti lain yang tidak diiktiraf badan akreditasi pendidikan.
Jelas Shahril Sufian, episod ini mengesahkan jenama PH sebagai penipu bersiri.
“PH bukan sahaja telah membuat penipuan dalam manifesto bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebaliknya secara berterusan mengulangi kesilapan tersebut.
“Janji manifesto tipu, waktu kempen pilihan raya kecil (PRK) tipu,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Marzuki sebelum ini dikatakan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari University of Cambridge, England namun kemudiannya menjelaskan ijazah tersebut diterima daripada Cambridge International University yang berpusat di Amerika Syarikat (AS).
Tambah Shahril Sufian, selain itu PH juga menipu berkaitan isu Felda serta kadar hutang negara.
“Kenyataan sebelum dan selepas menang tipu. Janji promosi usahawan muda tipu. Sesudah penipuan itu satu permohonan maaf pun kita tidak pernah dengar daripada PH.
“Apa salahnya mohon maaf, mengapa perlu beri seribu satu alasan dan kenyataan angkuh,” soalnya lagi. – UTUSAN ONLINE










