HULU LANGAT 18 Feb.- Orang Melayu dan Islam di negara ini akan rugi sekiranya mereka tidak menyambut perkembangan kerjasama Pas dan UMNO ketika ini.
Pengerusi Assabiqun (veteran Pas), Subky Latif berkata, beliau sendiri tidak pernah menyangka kerjasama politik antara Pas dan UMNO boleh berlaku dan menganggap perubahan politik antara kedua parti itu adalah di atas kehendak Allah.
“Saya tak fikir nak hadir perjumpaan dengan UMNO ini, kalau boleh tengok UMNO pun tak mahu tapi sekarang ini kalau UMNO tak nak, saya nak.
“Oleh kerana itu, kalau ada orang Melayu dan Islam tidak menyambut perkembangan yang ada ini, saya rasa ini akan merugikan orang Islam.
“Saya tak mahu bercakap tentang bersatunya UMNO dan Pas tetapi mahu bercakap tentang berdua, bahawa Pas dengan UMNO akan berdua sehingga sampai satu waktu kedua-dua parti ini buat satu keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Veteran UMNO di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Plaza Dato’ Mohd. Said di sini hari ini.
Yang hadir sama, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.
Sementara itu, tambah Subky lagi, sukar bagi mana-mana pihak untuk memecahkan kerjasama di antara Pas dan UMNO dan ketika ini selagi hubungan kedua-dua parti itu turut berpegang teguh daripada sudut kepentingan akidah.
“Saya rasa adalah sangat sukar bagi mana-mana pihak untuk memisahkan Pas dan UMNO atau mungkin saya boleh kata membelah rambut sehelai lebih mudah daripada memisahkan muafakat yang baru dicapai ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE









