KUALA LUMPUR 15 Feb. – Skuad negara berjaya merangkul satu emas, satu perak dan satu gangsa dalam kejohanan Orang Kuat Klasik Siam yang berlangsung pada 9 Februari lalu.
Kesemua pingat tersebut masing-masing disumbangkan oleh Joyce Heng bagi untuk emas menerusi terbuka wanita, diikuti Datuk Ahmad Zaki Jinlapudin (perak) dan Choo Kok Wei (gangsa), kedua-duanya kategori bawah 105kg.
Presiden Persatuan Sukan Orang Kuat Malaysia, Zainurizzaman Moharam berkata, sekalipun tidak mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan, namun usaha kesemua peserta dalam kejohanan itu wajar dipuji.
“Kami menghantar lima atlet untuk bertanding dalam kejohanan ini melibatkan tiga lelaki dan dua perempuan.
“Ini adalah pencapaian yang membanggakan buat negara. Atlet kami berusaha keras untuk bertanding walaupun tidak mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebanyak 12 negara bertanding dalam kejohanan tersebut antaranya Australia, Afrika Selatan, Britain, Thailand, Perancis, Amerika Syarikat (AS), Kenya dan Hong Kong.
Dalam kejohana itu juga, sebanyak empat rutin dipertandingkan iaitu Yoke Walk, Car Deadlift, Loading Race dan Hercules Hold. Peserta perlu menghabiskan angkatan dalam masa terpantas atau terbanyak dalam masa diberikan.
Mengulas lanjut, Zainurizzaman berkata, pihaknya selepas ini akan membuat persiapan untuk menghantar skuadnya ke kejohanan Orang Kuat Jakarta pada 30 Mac ini.- UTUSAN ONLINE










