KUALA LUMPUR 13 Feb. – Kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tentang kebijaksanaan di antara pengundi di Cameron Highlands dan Semenyih dipersoal oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib dalam nada kehairanan mempersoalkan apa yang cuba dimaksudkan oleh Ahli Parlimen Gombak itu.
“Semalam ada seorang yang kata Melayu di Semenyih tidak sama seperti di Cameron Highlands. Dia kata Melayu di Semenyih bukan ‘Melayu’ pekan.
“Apa maksud dia? Orang Cameron Highlands tak bijak macam orang Semenyih atau sebaliknya?” soalnya menerusi satu hantaran dalam akaun Facebook beliau.
Dalam satu program di Semenyih semalam, Mohamed Azmin berkata pengundi Melayu di kawasan pilihan raya kecil itu tidak akan terpengaruh dengan kempen Najib berbanding dengan mereka di Cameron Highlands.
Beliau juga menggambarkan Najib sebagai `pencuriku’ dan mencabar Ahli Parlimen Pekan itu untuk berkempen di Semenyih dalam pilihan raya kelak. – UTUSAN ONLINE










