MONTMELO, Sepanyol 27 Feb. – Mercedes dan Ferrari berdepan isu teknikal pada hari kelima ujian pramusim Formula Satu (F1), semalam yang menyaksikan muka baharu dari Britain, Lando Norris mencipta kejutan dengan mencatat masa terpantas buat McLaren.
Pelumba muda Ferrari, Charles Leclerc hanya melakukan 29 pusingan di Litar Catalunya sebelum keretanya memasuki garaj pasukan bagi melakukan ‘pemeriksaan sistem penyejukan.’
Tempoh Valtteri Bottas bersama jentera Mercedes turut dihadkan selepas mengalami masalah minyak yang memaksa juara pengeluar 2018 itu menukar enjin.
Begitupun, Norris tampil dengan prestasi baik untuk McLaren dan mencipta masa terpantas tetapi catatannya hanya 0.006 saat lebih laju berbanding pelumba Red Bull, Pierre Gasly sekali pun pemandu Perancis itu menggunakan set tayar yang berbeza.
“Potensinya ada, kami akan cuba meningkat dalam semua bahagian,” kata Gasly.
Perlumbaan F1 2019 akan membuka tirainya pada Grand Prix Australia, 17 Mac ini, yang mana pelumba Mercedes, Lewis Hamilton turun sebagai penyandang juara dunia.– AFP











