Nik Aziz calon PSM di PRK Semenyih - Utusan Malaysia

Nik Aziz calon PSM di PRK Semenyih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 13 Feb. – Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mengumumkan Ahli Jawatankuasa Pemuda Pusatnya, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, sebagai calon mewakili parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Pengerusi PSM, Dr. Nasir Hashim berkata, pemilihan Nik Aziz Afiq diharapkan dapat membawakan perubahan kepada parti selain mampu terus membawa perjuangan PSM bagi membela rakyat.

“Ini adalah proses, mungkin kita tidak berjaya tapi mungkin juga kita berjaya. Tapi bila kita masuk, kita mahu melakukan sebaik yang boleh.

“Kita memang merasakan kita mahukan perubahan, semangat baharu. Golongan muda, cara gerak dan rentaknya lain, memandangkan golongan muda hari ini telah berdepan berbagai dugaan maknanya mereka lebih tajam dalam memahami keadaan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat PSM di Semenyih dekat sini malam ini.

Yang hadir sama, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan dan Dr. Michael Jeyakumar.

Sementara itu, Nik Aziz Afiq yang merupakan calon tempatan dan menetap di Taman Tasek Semenyih berharap dapat menjadi pihak semak dan imbang kepada Kerajaan Negeri Selangor sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat bagi DUN Semenyih.

“Di Selangor, Pakatan Harapan (PH) memenangi 51 kerusi daripada 56 kerusi semasa pilihan raya umum yang lalu, keadaan ini merisaukan kerana dengan kuasa yang ada itu akan mendorong kerajaan Selangor ke arah korupsi.

“Kerana kerisauan itu, kita memerlukan wakil rakyat pembangkang yang kuat dan lantang yang dapat melakukan semak dan imbang kepada PH di Selangor. Walaupun PSM telah bertanding di sini sebanyak tiga kali namun kami tidak pernah menutup pusat khidmat malahan terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×